Seorang lelaki warga asing tanpa dokumen mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya berusia 11 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan atas air di Semporna, tahun lalu.
Tertuduh berusia 25 tahun membuat pengakuan itu pada prosiding di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dan enam bulan yang tidak bersekolah di rumah tertuduh kira-kira jam 2 pagi, pada 2 Mei tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2(e) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur sebelum menyedari badannya ditindih oleh seseorang sebelum tertuduh bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu.
Mangsa sebelum itu tinggal bersama ibunya di Kunak sebelum dibawa ke Semporna untuk tinggal bersama kakaknya yang sedang sarat hamil anak ketiga.
Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara lima bulan di bawah Akta Imigresen selepas didapati memasuki negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, tidak menawarkan sebarang jaminan.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) mangsa.






