KELUARGA seorang lelaki mangsa pembunuhan, mendiang R Arun Kumar menggesa pihak berkuasa dan pemimpin setempat mengambil tindakan lebih agresif membanteras kegiatan jenayah yang didakwa semakin mengancam keselamatan penduduk.
Gesaan itu dibuat kerana mereka tidak mahu tragedi berdarah yang meragut nyawa anaknya berulang di Pekan Nanas, Pontian.

Ibu mendiang, K Devi, 52, berkata, pemergian anak lelakinya yang berusia 22 tahun dalam serangan di depan sebuah kedai makan pada 21 Mei lalu seharusnya menjadi titik perubahan dalam usaha membanteras jenayah.
“Kami tidak mahu ada keluarga lain menerima nasib seperti kami. Jangan tunggu ada lagi nyawa melayang baru hendak bertindak. Pekan Nanas mesti dibersihkan daripada kegiatan kongsi gelap,” katanya ketika ditemui media di kediaman mereka di Pekan Nanas hari ini.
Pada Khamis lalu, tujuh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.
Tiga lagi suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon bawah Seksyen 118 Kanun Tata Cara Jenayah.
Pada 4 Jun lalu, Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilaporkan berkata, motif kes pembunuhan itu dipercayai mempunyai kaitan elemen kumpulan kongsi gelap termasuk kegiatan merekrut ahli baharu.
Sementara itu, Devi berkata, walaupun tujuh individu didakwa atas pertuduhan membunuh, keluarganya masih hidup dalam kebimbangan berikutan difahamkan masih ada suspek yang belum diberkas.
“Selagi mereka masih bebas, selagi itu kami tidak akan berasa tenang. Kami berharap polis terus memburu semua yang terbabit sehingga diberkas,” katanya.
Devi berkata, anaknya seorang yang pendiam, penyayang dan mengutamakan keluarga, selain tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Kalau benar ada dendam sekali pun, kenapa bunuh anak saya? Kehilangannya memusnahkan impian kami sekeluarga,” katanya.






