PRAMUGARA Malaysia Airlines (MAS), Hafeez Al-Bukhary atau nama sebenarnya Hafiz Bukhari Zulkefly yang dilaporkan kritikal sebelum ini dilaporkan sudah meninggal dunia.
Allahyarham yang berusia 42 tahun dipercayai menderita akibat barah dan meninggal dunia di kampung halamannya di Perak.
Berita duka itu dikongsikan sepupunya, Hani Mishan menerusi hantaran di Threads.
“Assalamualaikum. Baru dapat perkhabaran dukacita dari kakak Hafeez. Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Hafiz Bukhari bin Zulkefly telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan mengurniakannya syurga Firdaus. Amin,” tulisnya.
Berita duka itu turut dikongsikan adik lelakinya menerusi hantaran ringkas di Threads.
“Abang dah tak ada,” tulisnya.
Turut berkongsi berita duka itu adalah penyanyi Zarul Umbrella yang juga bekas pramugara MAS.
“Selamat jalan sahabat, semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas rohmu menempatkanmu dalam kalangan hambaNya yg beriman, Al Fatihah,” tulisnya.
Media sebelum ini melaporkan keadaan Hafeez Al-Bukhary yang dipercayai menghidap barah dan sudah dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak.
Pada 22 Jun lalu, Hafeez Al-Bukhary menerusi satu hantaran di Thread berkongsi perkembangannya yang menjalani rawatan di hospital dan tidak boleh menerima sebarang lawatan.






