DEWAN Pemuda Pas membangkitkan isu mengenai kuasa terlalu besar yang diberikan kepada agensi penguat kuasa bagi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi hantaran di Facebook berkata, tidak dinafikan pelaksanaan RUU itu baik, namun ia harus dikawal supaya tidak disalahgunakan.
Beliau berkata, rakyat mesti berasa selamat di bawah undang-undang ini manakala penjenayah pula perlu berasa takut untuk melakukan kesalahan.
“RUU ini bagus, tetapi kuasa besar yang diberikan itu mesti ada semak dan imbang. Dalam masa yang sama rakyat juga perlu mendapat perlindungan yang sewajarnya.
“Bagaimanapun, saya bimbang undang-undang ini nanti disalah guna. Rakyat menjadi takut untuk bersuara sedangkan mereka bersuara berdasarkan fakta,” katanya dalam hantaran itu.
Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan RUU Jenayah Siber 2026 yang antara lain memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan pemalsuan digital (deepfake) serta penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer kompleks.
RUU yang mengandungi 61 fasal berkaitan jenayah siber itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 48 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa atau mengatasi mana-mana perundangan lain termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, sebaliknya tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang serta prosedur perundangan yang ketat bagi melindungi hak asasi dan privasi rakyat.
Afnan Hamimi turut mengesyorkan supaya penangkapan hanya dibuat terhadap penjenayah, bukan individu yang memberi pandangan secara berfakta.
Jelas beliau, walaupun seseorang itu melakukan kesalahan jenayah, ia tidak bermakna data peribadi mereka boleh disebarkan ataupun diakses oleh mana-mana pihak sesuka hati.
“Kalau penguat kuasa ambil telefon, gajet atau komputer riba seseorang itu, siapa yang boleh akses maklumat? Dalam telefon misalnya ada data peribadi kita, gambar keluarga, akaun bank dan rekod kesihatan.
“Jadi, siapa pegawai yang boleh akses, berapa lama dia boleh akses, bila data itu akan dipadam dan diserahkan semula?.
“Kita juga nak memastikan RUU ini tidak menghukum pihak yang membantu kerajaan. Contohnya pakar-pakar IT yang mengakses sistem keselamatan agensi kerajaan dan mendapati ada kelemahan, kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa. Adakah dia itu dianggap penjenayah?” ujarnya.
Beliau berpendapat mereka sepatutnya dilindungi kerana membantu kerajaan menambah baik sistem keselamatan data negara.
“Jadi, rumusan daripada apa yang saya sebutkan tadi adalah seperti polis, ada pistol dan ada sarung. Kenapa ada sarung? Untuk mengawal pistol itu supaya tidak disalahgunakan,” katanya.






