Polis kejar kereta warga asing dipandu melulu 15km, 2 lelaki ditahan, 2 masih bebas

POLIS mengejar empat lelaki warga asing yang menaiki sebuah kereta secara melulu dan berbahaya sejauh kira-kira 15 kilometer (km) sebelum berjaya menahan dua daripada mereka di Jalan Teknologi, Kota Damansara di Petaling Jaya awal pagi ini.

Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an sebelum itu menaiki sebuah kereta jenis Honda Jazz dan dikejar dari Bulatan Lapangan Terbang Subang menghala ke Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah malam tadi.

Beliau berkata, sebuah kereta peronda polis terpaksa mengejar Honda Jazz dinaiki suspek yang dipandu secara agresif dan berbahaya sejauh 15km sebelum berjaya ditahan.

“Dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan di Kota Damansara manakala dua lagi suspek lain berjaya meloloskan diri.

“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek yang ditahan itu positif tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau gopoh serta berbahaya.

“Dua suspek terbabit direman selama dua hari hingga esok untuk membantu siasatan lanjut, manakala dua suspek yang masih bebas sedang giat dikesan,” katanya.

Shamsudin berkata, orang ramai dinasihat tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dalam media sosial dan tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung insiden itu.

Katanya, saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img