SEORANG murid Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai ditikam belasan kali oleh rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Banting, hari ini.
Dalam kejadian ketika waktu persekolahan itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum diberikan rawatan.
Difahamkan, suspek yang juga berusia 15 tahun dipercayai tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Menurut sumber, sebelum kejadian suspek yang memakai baju-T hitam dan berseluar kotak merah memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai bagaimana kejadian tikaman itu berlaku masih dalam siasatan.
Selepas kejadian, suspek berjaya ditenangkan oleh guru di kawasan berhampiran surau sekolah sebelum pihak sekolah menghubungi polis.
Suspek kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan, manakala sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas.
Setakat ini, motif sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian itu.
“Ya, kejadian berlaku. Saya akan keluarkan kenyataan awal bagi mengesahkan insiden itu. Mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata, polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas siasatan lanjut selesai dijalankan.
Sementara itu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman sama turut menunjukkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.
Terdapat juga dakwaan di media sosial bahawa suspek merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah dan bertindak demikian untuk membalas dendam, namun perkara itu masih belum disahkan pihak polis.






