ENAM individu termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menyeludup 10 migran warga Bangladesh di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, Machang, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhamad Amirul Aileh, 30, Muhammad Arif Abd Halim, 22, Mohamad Hazran Mohd Daud, 34, Mohd Shamsuri Yusoff, 45, Norazalina Mohamad, 40, dan Nur Aliya Natasya Abdul Rahman, 20.
Hakim Nik Habri Nik Muhamad tidak merekodkan pengakuan mereka selepas pertuduhan dibacakan kerana kesalahan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama seorang lagi individu, Wan Mohd Zulfadli Wan Hassan, 37, yang masih bebas, didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan 10 migran warga Bangladesh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Mas, Kampung Sungai Mas, dekat Machang kira-kira jam 8 pagi pada 11 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim.
Norazalina diwakili peguam Ahmad Nurie Abd Rahman, manakala lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.






