KERAJAAN disaran mewajibkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap penjuru kawasan sekolah di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan mencegah insiden keganasan membabitkan pelajar.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Daniel Khoo berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji mekanisme keselamatan baharu yang lebih menyeluruh dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku.
Menurutnya, pendekatan pencegahan perlu diperkasakan bagi memastikan insiden tidak diingini dapat dielakkan lebih awal.
“CCTV perlu diwajibkan bukan hanya dipasang di dalam kelas, tetapi juga di koridor, laluan ke tandas, tangga, pintu masuk dan semua kawasan yang menjadi laluan pelajar.
“Di mana sahaja pelajar bergerak dalam kawasan sekolah, pemantauan melalui CCTV amat penting. Selain membantu siasatan selepas berlaku insiden, ia juga dapat mencegah jenayah sekiranya dikesan lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pelaburan bagi menyediakan sistem CCTV berkualiti tinggi yang komprehensif bagi mengelakkan isu titik buta atau masalah teknikal yang boleh menjejaskan pemantauan.
Katanya, pelaburan itu perlu diberi keutamaan demi keselamatan pelajar, warga pendidik dan kakitangan di semua institusi pendidikan rendah serta menengah.
Pada masa sama, Daniel mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dilaksanakan dengan segera termasuk pemeriksaan keselamatan bermula dari pintu masuk sekolah.
“Setiap sekolah perlu mempunyai pengawal keselamatan yang menjalankan pemeriksaan beg pelajar bagi memastikan tiada senjata tajam seperti pisau atau objek berbahaya dibawa masuk ke kawasan sekolah.
“Mungkin ada yang menganggap langkah ini terlalu ketat, namun kita perlu melihat kepada kepentingan yang lebih besar iaitu keselamatan pelajar. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada bertindak selepas tragedi berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memantau emosi serta perubahan tingkah laku anak-anak sebagai langkah pencegahan awal.
Katanya, semua pihak perlu bersama-sama menilai kelemahan sedia ada dan mencari penyelesaian berkesan, bukannya saling menyalahkan apabila berlaku sesuatu insiden.
“Jangan hanya menuding jari mencari siapa yang bersalah apabila sesuatu tragedi berlaku. Sebaliknya tanyalah mengapa ia boleh berlaku dan apakah kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kejadian sama tidak berulang.
“MCCC percaya pencegahan bermula dengan komunikasi, keprihatinan dan kesediaan untuk mendengar. Kadangkala satu perbualan yang ikhlas sudah cukup untuk mengubah kehidupan seorang anak,” katanya.






