SEORANG wanita warga emas berusia 89 tahun mengalami patah buku lali selepas dipercayai terjatuh di dalam rumahnya di Jalan Gempita 3, Salak South Garden, Kuala Lumpur, sebelum diselamatkan dengan bantuan jiran yang menghubungi bomba, hari ini.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 11.13 pagi sebelum sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) bersama empat anggota digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Rosli Ibrahim berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati pintu rumah yang sebelum itu berkunci sudah berjaya dibuka oleh orang awam.
“Jiran mangsa membuat panggilan kepada bomba selepas menyedari wanita terbabit dipercayai terjatuh di dalam rumah.
“Mangsa ditemukan berada di ruang dapur dalam keadaan mengalami kecederaan patah pada bahagian buku lali akibat terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Kuala Lumpur untuk dibawa mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.17 tengah hari.






