38 penuntut berjaya sarung Beret Hijau, tamat Kursus Asas Komando

HANYA 38 daripada 127 penuntut Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 berjaya menamatkan latihan lasak sekali gus layak menyarung Beret Hijau sebagai warga baharu Gerup Gerak Khas (GGK).

Daripada jumlah itu, lima merupakan pegawai manakala 33 lagi anggota lain-lain pangkat (LLP) yang berjaya mengharungi latihan intensif selama tiga bulan bagi menguji ketahanan fizikal, kekuatan mental, kepimpinan serta kemahiran taktikal.

Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nordin Abu berkata, pemakaian Beret Hijau bukan sekadar simbol kejayaan menamatkan latihan, malah merupakan permulaan kepada amanah yang lebih besar sebagai anggota pasukan elit Tentera Darat Malaysia.

“Pemakaian Beret Hijau bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, disiplin dan integriti.

“Ilmu, pengalaman serta nilai yang diperoleh sepanjang kursus ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di Kuala Ketil, Kedah.

Kolonel Nordin Abu.

Majlis penutup itu disempurnakan Nordin yang mewakili Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Suhaimi Mat Wajab.

Kemuncak majlis menyaksikan Upacara Pemakaian Beret Hijau, Lanyard Biru serta penyerahan Pisau Komando sebagai simbol pengiktirafan terhadap ketabahan, disiplin dan kecekalan penuntut yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di UniSHAMS merupakan sebahagian daripada usaha mendokong Teras Keempat Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan CIMIC.

Menurutnya, pendekatan itu memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat melalui kerjasama strategik yang menyokong kesejahteraan rakyat, selain menyemarakkan semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Beliau berkata, program itu turut menjadi platform mendekatkan ATM dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, antaranya Boat Ride, Special Operation Vehicle (SOV) Ride, serta penyediaan Medical Capability (MEDCAP) dan Dental Capability (DENCAP) yang menawarkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan serta pergigian secara percuma kepada orang awam.

Kursus Asas Komando yang dikendalikan sepenuhnya oleh PULPAK merupakan antara latihan ketenteraan paling mencabar di dalam ATM dengan tempoh latihan selama tiga bulan merangkumi latihan peringkat kem, peringkat hutan(taktik hutan dan ikhtiar hidup pertempuran), long march 160km, peringkat ikhtiar hidup paya, peringkat laut, Eks Dark Water(Raid Amfibi Gerak Khas, escape and evasion dan introgation bagi melahirkan anggota komando yang memiliki ketahanan fizikal, mental dan kemahiran operasi pada tahap tertinggi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img