Rosmah saman Harith Iskander, dakwa dihina rupa paras, fizikal dalam persembahan komedi

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelakon dan pelawak, Harith Iskander kerana didakwa menghina rupa paras dan fizikal beliau dalam satu persembahan komedi bersirinya di Melaka pada Januari lalu.

Rosmah, 75, yang memfailkan tuntutan samannya pada 9 Jun lalu, mendakwa Harith Iskander dalam persembahan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka memaparkan imej makhluk halus, sebelum memaparkan gambarnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rosmah mendakwa, sebelum berbuat demikian, Harith Iskander memberitahu penonton bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan yang gelap akan ‘melihat sesuatu yang menakutkan’.

Menurut Rosmah, ia sekali gus jelas menggambarkan dirinya sebagai sesuatu yang menakutkan dan mengaitkan plaintif dengan makhluk halus.

“Kenyataan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik saya, selain bertujuan mengaibkan saya melalui penghinaan bentuk fizikal (body shaming).

“Perbandingan ini serius kerana ia tidak dibuat dalam konteks neutral atau dalam perbincangan biasa, sebaliknya ketika persembahan komedi di hadapan penonton secara langsung bagi meraih gelak tawa dan hiburan daripada orang ramai,” katanya.

Rosmah selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Harith Iskandar atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.

Rosmah berkata, seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.

Menurut Rosmah, kenyataan fitnah itu berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan.

“Kenyataan itu juga untuk merosakkan reputasi, maruah dan nama baik saya oleh kerana kedudukan saya sebagai seorang figura awam, isteri bekas Perdana Menteri, penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan, serta individu yang pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara,” katanya.

Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi yang menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan dan menyebarkan kenyataan fitnah itu.

Beliau juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang tidak bersyarat dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.

Peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah ketika dihubungi media, mengesahkan tuntutan saman itu dan memaklumkan pengurusan kes telah ditetapkan pada 31 Julai ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith Iskander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara sama.

Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada hari ini oleh Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Harith Iskander dalam penyataan pembelaan menafikan paparan itu menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.

“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img