Bapa, anak cedera dipukul sekumpulan pelajar di luar sekolah

SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar sekolah menengah dalam kejadian di luar sebuah sekolah di Taman Desaminium di Seri Kembangan baru-baru ini.

Polis menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan yang membabitkan beberapa pelajar serta bapa kepada seorang pelajar itu selepas rakaman video kejadian tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah menuju ke motosikalnya yang diletakkan di luar kawasan sekolah.

“Pelajar terbabit kemudian dipanggil oleh beberapa pelajar lelaki dari sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh kesemua suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka pada bibir dan lutut selain lebam serta sakit di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bapa mangsa yang juga berada di lokasi dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan turut menjadi mangsa apabila dipukul sehingga terjatuh di atas jalan raya.

“Akibat kejadian itu, bapa mangsa turut mengalami kecederaan pada tangan dan kaki selain sakit di seluruh badan,” katanya.

Muhamad Farid berkata, beberapa individu iaitu pelajar yang terlibat telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah.

Katanya, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah serta ibu bapa bagi memastikan kes berkenaan ditangani secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang.

“Susulan laporan diterima, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Muhamad Farid berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img