BARISAN Nasional (BN) sama sekali tidak akan membantah apa juga tindakan susulan oleh kerajaan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN juga tidak membantah jika kerajaan mahu mendedahkan laporan itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mendakwa pihak yang didapati bersalah.
Beliau menegaskan, laporan siasatan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik dan tiada perkara perlu disorokkan daripada pengetahuan rakyat.
“Apa juga keputusan terbabit atau tindakan susulan daripada laporan RCI berkenaan, terpulanglah kepada kerajaan kerana kita tak pernah membantah pun. Laporan RCI ini nak bawa ke Parlimen pun boleh, nak bawa ke umum pun boleh,” katanya di Seremban hari ini.
Sebelumnya erdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum selepas dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Bagaimanapun Mohamad mempersoalkan mengapa isu berkenaan dibangkitkan secara tiba-tiba sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
“Saya tak faham mengapa dalam masa pilihan raya ini RCI Tabung Haji menjadi isu yang hangat sangat. Saya tak tahu apa kena-mengena RCI Tabung Haji dengan Negeri Sembilan.
“Tak tahulah kalau ada apa-apa yang terselindung di dalam RCI berkenaan, I’m not privy (saya tiada akses). Saya tidak ada akses kepada dokumen itu.
“Saya tak baca pun kerana dia tak didedahkan. Dah didedahkan esok kita tahulah apa masalah, apa isu yang sudah pun disiasat oleh badan RCI berkenaan, insya-Allah,” katanya.






