SEORANG lelaki yang menyertai pertandingan bola sepak di Residensi Prima Bandar Ekar Rantau, Seremban tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke hospital.
“Pada jam 11.35 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang dikatakan rebah ketika menjadi penjaga gol pertandingan sepakan penalti.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian. Pertandingan berkenaan anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) cawangan Rembau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian, isteri lelaki berusia 45 tahun itu turut berada di padang bola sepak untuk memberi sokongan moral.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah sakit jantung dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Serdang.






