PROSES urusan jenazah rakyat Malaysia yang maut ditikam ketika meleraikan pergaduhan dalam kejadian pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan pada Sabtu lalu telah selesai dan kini hanya menunggu proses dokumentasi sebelum dibawa pulang.
Jenazah Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros dikatakan telah selesai dimandi, dikafankan dan disembahyangkan dan kini berada di Incheon untuk urusan membawa pulang ke tanah air.
Ain Sephia, 25, adik kepada Allahyarham berkata, beliau dimaklumkan jenazah abangnya itu sudah berada di Incheon berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon untuk urusan dokumentasi.
“Saya dimaklumkan jenazah sudah dimandikan dan dikafankan. Saya pun difahamkan jenazah abang berada berdekatan dengan lapangan terbang.
“Setakat ini, tengah menunggu urusan dokumentasi berkaitan diselesaikan oleh pihak kedutaan kita di sana. Urusan pembelian tiket sedang diteliti, kalau boleh nak segerakan.
“Insya-Allah, jadual penerbangan kalau boleh (berlepas pulang ke Malaysia) sama ada malam ini atau awal pagi esok. Nanti kami akan maklumkan perkembangan lanjut,” katanya ketika dihubungi media hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, keluarganya sedang menunggu proses dokumentasi diselesaikan oleh Kedutaan Malaysia di sana, termasuk membabitkan urusan pembelian tiket penerbangan.
Malam tadi, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan, pihaknya sedang berusaha memberikan bantuan yang diperlukan kepada waris keluarga rakyat Malaysia itu.
Wisma Putra dalam laporannya menyatakan, pihak kedutaan sudah berhubung dengan waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah kembali ke tanah air.
Allahyarham Ahmad Shah, 26, seorang pekerja sektor perkilangan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan Sabtu lalu, selepas cedera parah pada bahagian perut, akibat ditikam dengan pisau ketika meleraikan satu pergaduhan.
Beliau yang menetap di sana sejak 2019, datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka, selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan.
Difahamkan suspek yang menikamnya serta beberapa lagi individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga rakyat Malaysia.
Suspek utama dan individu lain yang terbabit dalam pergaduhan berkumpulan itu kini ditahan bagi membantu siasatan.






