KESEMUA 113 pelarian kebanyakannya etnik Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejak malam tadi telah dibawa keluar dari lokasi itu kira-kira jam 4 petang tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mereka bergerak menuju ke destinasi yang ditetapkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kesemua pelarian telah bergerak keluar dari IPK Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO.
“Proses membawa keluar pelarian melibatkan bayi berusia sebulan hingga pelarian paling tua berusia 60 tahun itu dibuat oleh sebuah NGO dari Ampang, Selangor,” katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika dihubungi media memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mencari penempatan alternatif untuk semua pelarian terbabit.
Bagaimanapun tiada maklumat terperinci berhubung lokasi penginapan alternatif itu dikongsikan.
Terdahulu, Fadil dilaporkan berkata seramai 113 pelarian dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur kira-kira jam 8.50 malam tadi bagi membolehkan proses dokumentasi dan tindakan lanjut dilaksanakan bersama wakil UNHCR.
Daripada jumlah itu, 110 adalah etnik Rohingya, manakala selebihnya terdiri daripada seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang juga isteri kepada seorang pelarian Rohingya.
Beliau berkata, hasil proses dokumentasi mendapati semua pelarian Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang sah.
Kumpulan pelarian itu dipindahkan dari hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling selepas berkampung di kawasan berkenaan bagi mendapatkan bantuan agensi itu.






