JENAZAH rakyat Malaysia, Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut dalam pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan minggu lalu, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ke tanah air pada jam 11 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham yang berusia 26 tahun itu dijangka tiba di kediaman keluarganya di Rawang, petang ini.
Adik mangsa, Ain Sephia, 25, berkata, jasad Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang sebaik sahaja tiba di tanah air sebelum dikebumikan selepas solat Isyak.
“Jenazah baru berlepas dari lapangan terbang. Insya-Allah, selepas semua proses ketibaan selesai, jenazah akan terus dibawa untuk dikebumikan.
“Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tasik Puteri selepas solat Isyak,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Ahmad Shah, pekerja sektor perkilangan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan selepas cedera parah pada bahagian perut akibat ditikam dengan pisau ketika meleraikan satu pergaduhan.
Beliau yang menetap di sana sejak 2019, datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan.
Difahamkan suspek yang menikamnya serta beberapa lagi individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga rakyat Malaysia.
Terdahulu, Kedutaan Malaysia di Seoul berkata, ia sedang berusaha memberikan bantuan yang diperlukan kepada waris rakyat Malaysia itu.
Wisma Putra dalam laporannya menyatakan pihak kedutaan sudah berhubung dengan waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah ke tanah air.





