SEORANG tukang masak didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang juga rakan sekerjanya di sebuah premis makanan segera di Tumpat, baru-baru ini.
Tertuduh, Muhammad Fakhrullah Md Nor, 21, didakwa di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi kelima-lima pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun antara 5 Jun hingga 17 Julai, pada jam 6.10 petang hingga 7 petang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala Muhammad Fakhrullah yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, tidak diwakili peguam, lapor BH.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan, selain dikenakan syarat melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi atau mangsa, sebelum menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.






