SEORANG bekas perancang majlis separuh masa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan yang meninggal dunia 13 hari selepas terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol pada Mei lalu.
Low Kean Peng, 35, didakwa menyebabkan kematian Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota, Klang kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Kean Peng hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Khartiyayini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfiqar.
Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin.
Kematian Zulfiqar pada 25 Mei lalu mendorong pihak pendakwaan mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh.
Kean Peng diwakili peguam Ethan W H Tan yang hadir bersama Benjamin Tan, Savinder Singh dan Vitiya Monisha.
Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi memohon satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan bedah siasat dikemukakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.






