POLIS membongkar kegiatan sindiket pusat panggilan yang dipercayai menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa di China dan Taiwan menerusi serbuan di sebuah kondominium mewah di Tanjung Bungah, Georgetown, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu, tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 37 tahun diberkas dipercayai terbabit menjalankan operasi sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di unit kondominium itu turut menemukan pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dipercayai digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan.
“Turut dirampas pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan.
“Sindiket berkenaan menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa dari China dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dibaca bersama Seksyen 120B kanun sama kerana pakatan jenayah.






