TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya tindakan lebih tegas dapat dikenakan terhadap pesalah kekejaman haiwan.
Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman membabitkan haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang masih berlaku dan tular sejak kebelakangan ini.
Selaku Penaung Diraja kepada inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor, baginda bertitah perbuatan menyiksa, mencederakan atau membunuh haiwan bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan mempertahankan nilai belas ihsan dan kemanusiaan.
“Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya. Tidak kira apa jawatannya. Tidak kira apa pun bangsa atau agama. Tidak kira atas alasan apa sekali pun,” titah baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Baginda menegaskan, pendirian itu terpakai kepada semua pihak termasuk individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan dan pihak berkuasa kerana tiada sesiapa berada di atas undang-undang.
Menurut baginda, mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk jika perbuatan itu dilakukan oleh anggota atau pegawai pihak berkuasa.
Titah baginda, kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara apabila setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan, bukannya menerusi kekerasan sehingga menyebabkan haiwan menderita.
Sehubungan itu, Tengku Permaisuri Norashikin mahu kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat berganding bahu membina komuniti yang benar-benar berbelas ihsan terhadap setiap haiwan.
Baginda turut mahu usaha penyelamatan, rawatan, pengurusan dan perlindungan haiwan dilaksanakan secara berperikemanusiaan, selain kebajikan haiwan dijadikan sebahagian daripada usaha membentuk komuniti lebih bertanggungjawab, prihatin dan bertamadun.
Pada masa sama, pendidikan serta kesedaran mengenai sifat kasih sayang terhadap haiwan perlu diterapkan sejak usia muda menerusi pendidikan, kempen kesedaran awam dan penglibatan komuniti.
Tengku Permaisuri Norashikin berharap semua pihak mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku dan bersama-sama memastikan Selangor terus menjunjung tinggi nilai ihsan, keadilan dan tanggungjawab terhadap semua makhluk ciptaan Allah SWT.






