KASTAM Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta hari ini mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) didakwa cuba menyeludup dadah jenis MDMA seberat 26 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam bagasinya.
Menerusi hantaran di akaun Instagram rasmi pihak berkuasa itu, rakaman berkenaan dipercayai menunjukkan proses pemeriksaan terhadap suspek sebaik sahaja tiba di lapangan terbang berkenaan.
Selain menemukan bungkusan disyaki mengandungi dadah seberat 26 kg, pegawai kastam turut menemukan sebotol air kencing yang dipercayai disediakan bagi tujuan memanipulasi atau memalsukan ujian saringan dadah.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) hari ini memaklumkan, pemeriksaan keselamatan terhadap bagasi juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia pada 28 Julai lalu tidak mengesan sebarang objek mencurigakan sebelum dia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bagasi juruterbang itu telah melalui proses saringan menggunakan mesin pengimbas berteknologi tinggi yang dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) tanpa mengesan sebarang unsur mencurigakan.
Juruterbang Malaysia Airlines itu kini ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan berkaitan dadah di negara ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.






