SEORANG gadis didakwa di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Travers pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tertuduh berusia 21 tahun didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, manakala lesen memandunya turut digantung sehingga kes selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian itu membabitkan motosikal Yamaha Y16ZR, Perodua Axia dan Toyota Hilux di Jalan Travers dari arah Pantai Dalam menghala ke Muzium Negara, berhampiran simpang tiga menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada jam 10.22 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun sedang bergerak lurus di lorong paling kiri.
“Pada masa sama, Perodua Axia dipandu seorang wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai mengubah haluan dari lorong ketiga ke lorong paling kiri untuk memasuki Jalan Selangor. Perodua Axia kemudian dipercayai melanggar motosikal berkenaan sebelum terbabas dan merempuh Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun yang sedang menunggu untuk keluar dari simpang,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, susulan itu, penunggang motosikal terbabit cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala kedua-dua pemandu kenderaan tidak cedera.
Menurut beliau, ujian pernafasan EBA yang dijalankan ke atas pemandu Perodua Axia terbabit menunjukkan bacaan negatif.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan, seorang guru sambilan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kenderaan berhampiran Jalan Travers, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Mangsa, Muhammad Nurhaziq Mohd Anin, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pengesahan dibuat pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengah hari.






