SEORANG buruh di sebuah ladang kelapa sawit ditahan polis selepas dipercayai memiliki selaras senapang angin, sebilah pedang samurai dan dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Mukah-Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek tempatan berusia 36 tahun itu diberkas kira-kira jam 8 pagi hasil risikan dan maklumat yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, pemeriksaan awal menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu yang disimpan di dalam kotak rokok dalam sebuah beg silang milik suspek.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.46 gram.
“Pemeriksaan lanjut di bilik suspek turut menemukan selaras senjata api disyaki jenis senapang angin, sebilah pedang samurai berukuran 79 sentimeter, 80 biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru serta sebotol bekas semburan plastik lutsinar,” katanya, lapor Harian Metro.
Muhamad Rizal berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 9 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.






