KEDUDUKAN Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dianggap gugur secara automatik sekiranya parti itu bertindak menubuhkan pasukan atau gabungan politik lain, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, tindakan sedemikian menyebabkan kedudukan dalam gabungan itu terbatal dengan sendirinya tanpa memerlukan sebarang keputusan atau pengesahan rasmi daripada kepimpinan PN.
“Dia sudah membuat kenyataan nak tubuh satu pasukan lain. Dia sendiri sahaja. Automatik dia keluar. Tak payah rasmi. Dia terkeluar dengan sendiri bila dia buat,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila selepas Kuliah Duha, di Marang hari ini, lapor harakahdaily.net.
Mengulas sama ada PN akan mengeluarkan surat rasmi bagi mengesahkan perkara itu, Abdul Hadi berkata, langkah itu tidak diperlukan kerana ia sudah diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan.
“Tak payah keputusan. Ikut perlembagaan bila kita pergi ke lain, habislah. Putuslah. Saya rasa tak perlu surat. Perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, keluarlah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa parti itu akan membentuk satu gabungan baharu dengan parti-parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Kenyataan Muhyiddin yang dibuat pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu untuk PRN Negeri Sembilan itu, secara tidak langsung memberi isyarat keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional yang kini dipimpin oleh Pas akan berakhir.
Kata bekas Perdana Menteri itu, antara parti yang akan menyertai gabungan tersebut ialah parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk PUTRA yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali dan URIMAI yang diketuai Dr P Ramasamy.






