Lelaki terlibat kes samun di Batu Gajah ditahan

POLIS menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah semalam yang videonya tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 9.50 malam di tepi Jalan Kledang di Ipoh hasil risikan yang dijalankan selepas kejadian berkenaan.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 11.47 pagi ketika mangsa yang berusia sekitar 30-an bersama keluarganya pulang ke rumah sebelum mendapati suspek berada di dalam kediaman mereka.

“Pengadu cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu, namun terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Noor berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan rumah mangsa, namun terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta beg sandang yang mengandungi peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Semalam, satu video berdurasi 54 saat tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan, termasuk situasi suspek dipercayai cuba melarikan diri dari kediaman berkenaan.

Sementara itu, Md Noor berkata, pemeriksaan di kediaman mangsa mendapati tiada barangan dilaporkan hilang, namun tombol pintu hadapan rumah rosak dipercayai akibat diumpil manakala bilik tidur utama dan almari didapati telah diselongkar dan berselerak.

Beliau berkata, mangsa dan isterinya telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img