EMPAT individu cedera selepas bas dinaiki 19 pelajar dan dua guru dari Tahfiz Allauddin terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Besar Jengka 18, di Maran petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa yang cedera terdiri daripada pemandu dan penumpang bas mengalami luka ringan akibat terkena serpihan kaca.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler Volvo dan bas jenis SKS.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler berkenaan dalam perjalanan dari arah Kampung Awah menuju Bandar Jengka.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, treler itu dipercayai terbabas dan pemandunya gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, bas yang datang dari arah Bandar Jengka menuju Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kim Wai, empat individu termasuk pemandu dan penumpang bas mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca, manakala penumpang lain tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu treler juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaannya sehingga berlaku pelanggaran,” katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada saksi tampil membantu siasatan dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis mengikut Kaedah 10 LN 166/59.





