Sindiket culik ‘pancing’ mangsa guna aplikasi temu janji,media sosial

MENGGUNAKAN aplikasi temu janji dan media sosial seperti Telegram, WeChat serta Badoo untuk berkenalan sebelum memancing mangsa ke negara ini antara modus operandi sindiket penculikan yang ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di utara tanah air, Jumaat lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, sindiket berkenaan menyasarkan warga asing dengan menawarkan peluang pekerjaan, pelawaan bercuti atau perkhidmatan teman sosial sebelum memerangkap dan mengurung mangsa.

Menurutnya, selepas mangsa ditahan, suspek akan mengarahkan mereka mendedahkan maklumat perbankan sebelum wang dalam akaun dipindahkan ke akaun milik suspek.

“Mangsa juga diminta menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan untuk meminta atau meminjam wang sebagai tebusan bagi pembebasan mereka.

“Modus operandi itu dikesan susulan kejayaan polis menyelamatkan dua mangsa culik, masing-masing lelaki warga asing berusia 72 tahun dan wanita warga asing berusia 33 tahun, di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, pada 8 Ogos lalu,” katanya pada sidang media JSJ di Bukit Aman, hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam operasi berkenaan, dua suspek warga asing maut selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis dari Bahagian D8 dan D9, JSJ Bukit Aman.

Kumar berkata, mangsa wanita mendakwa diculik sekumpulan individu tidak dikenali pada 5 Ogos lalu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga asing menerusi aplikasi WeChat.

Katanya, wanita berkenaan mengajak mangsa ke Pulau Pinang untuk diperkenalkan dengan seorang lelaki sebelum mangsa diculik dan dikurung.

“Suspek kemudian meminta wang tebusan sebanyak AS$20,000 serta mengugut menghantar mangsa ke Myanmar.

“Mangsa kemudian menghubungi ahli keluarganya di China untuk meminjam wang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mangsa lelaki dilaporkan datang ke negara ini pada 26 Julai lalu untuk ke Pulau Pinang sebelum gagal dihubungi.

Menurutnya, pada 4 Ogos lalu, mangsa menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli keluarganya memaklumkan dia dikurung dan hanya akan dibebaskan sekiranya membayar wang tebusan sebanyak SG$1 juta.

Kumar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan suspek.

Beliau berkata, enam suspek yang ditahan dalam operasi berasingan di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Ogos ini.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti peranan setiap seorang suspek dalam kejadian penculikan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, permohonan rasmi akan dihantar melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL) JSJ Bukit Aman kepada pihak berkuasa China bagi mendapatkan pengesahan identiti serta rekod jenayah suspek warga China yang terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here