JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan sudah menerima aduan rasmi daripada parti Bersatu termasuk isu kedudukan keanggotaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, aduan tersebut antara lain menyentuh dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Katanya, penelitian terhadap aduan berkenaan sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, Perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan.
“Bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkaitan akan diteliti,” menurut RoS dalam kenyataan hari ini.
Tambah jabatan itu, setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan serta Perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Menurutnya, penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Justeru, RoS akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik.
Media minggu lalu melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keahlian Bersatu dalam PN gugur secara automatik selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dilaporkan mendakwa, Pas mempergunakan PN demi kepentingan politik parti itu, termasuk melalui tindakan unilateral yang menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.
Tun Faisal turut meminta RoS mengambil tindakan segera bagi menangani kemelut yang berlaku dalam PN.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, gabungan itu bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya dipanggil RoS berhubung dakwaan pemimpin Bersatu.





