Ibu berpantang dakwa ambil ubat penenang tanpa kawalan, bayi positif dadah

SEORANG wanita yang baru lima hari bersalin mendakwa mengambil ubat penenang tanpa kawalan doktor sebelum saringan mendapati dirinya dan bayi perempuan dilahirkannya positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azmir Damiri berkata, perkara itu berdasarkan keterangan awal wanita berusia 30-an berkenaan, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan wanita berusia 30-an itu, dia mengambil ubat penenang tanpa kawalan doktor sehingga menyebabkan dirinya dan bayi positif dadah.

“Namun kita akan menjalankan siasatan lanjut dan bayi berkenaan masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemantauan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Azmir berkata, polis setakat ini tidak menahan wanita berkenaan memandangkan dia baru sahaja bersalin.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan lima hari didapati positif dadah jenis amphetamine dan benzodiazepines.

Dua bahan berkenaan dikesan ketika bayi terbabit menjalani saringan air kencing di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), HRPZ II, pada 6 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai terdedah kepada bahan terlarang itu ketika masih dalam kandungan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca bayi terbabit terdedah kepada dua bahan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here