Lima cedera nahas Perodua Myvi, Axia di Dungun

LIMA cedera apabila dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Axia bertembung berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi di Dungun, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.06 pagi itu, kereta Perodua Axia terbabit dipandu seorang lelaki dewasa manakala Perodua Myvi dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak perempuan.

Empat daripada mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi.

Bagaimanapun, seorang lelaki dewasa yang juga pemandu Myvi tersepit di tempat duduk kenderaan itu, lapor Buletin TV3.

Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah terpaksa menggunakan peralatan menyelamat dan satu unit pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Komander Operasi, Mohd Sharizan Muhammad berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.

Menurutnya, operasi yang turut membabitkan enam anggota bomba itu tamat kira-kira jam 8.30 pagi selepas kerja pembersihan sisa kemalangan selesai dijalankan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Marang, sebuah Perodua Viva terbakar kira-kira 40 peratus di bahagian enjin.

Kebakaran dilaporkan berlaku di jalan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, kira-kira jam 8.18 pagi.

Pasukan dari BBP Marang tiba di lokasi empat minit kemudian dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.27 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.41 pagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here