JIM tahan kanak-kanak 10 tahun ketika jaga kedai runcit di tapak pembinaan

SEORANG kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia 10 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka selepas ditemui menjaga sebuah kedai runcit di tapak pembinaan di Ayer keroh, semalam.

Kanak-kanak itu antara 59 warga asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) JIM Melaka bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di dua tapak pembinaan sekitar Bukit Baru.

Dalam pemeriksaan itu, kanak-kanak berkenaan ditemui menjaga kedai runcit yang dipercayai diusahakan pekerja warga Indonesia di kawasan tapak pembinaan berkenaan selepas ibunya pulang sementara ke negara asal.

Kedai berkenaan turut dilengkapi kemudahan seperti sambungan Internet, komputer peribadi, pendingin hawa dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kanak-kanak itu mendakwa dia berada di Malaysia sejak lebih setahun lalu selepas datang bersama keluarganya dan sebelum ini menetap di Semabok sebelum berpindah ke Ayer Keroh.

“Saya mahu pulang ke Indonesia tetapi disebabkan wang masih belum ada, saya belum dapat pulang,” katanya ketika ditemui di rumah kongsi tapak pembinaan itu, lapor BH.

Sementara itu, nenek kanak-kanak berkenaan yang mahu dikenali sebagai Faridah, 58, turut diperiksa dalam operasi itu dan mendakwa hanya membantu menjaga kedai sementara ibu kanak-kanak terbabit pulang ke Indonesia.

Wanita itu memberi alasan terlupa memperbaharui pas perjalanan yang tamat tempoh sejak tiga tahun lalu dan mengakui sudah tinggal di Malaysia lebih tujuh tahun serta pernah bekerja sebagai buruh binaan.

“Saya tahu pas sudah tamat tempoh tetapi selama beberapa tahun saya tidak pernah ditahan, cuma kali ini,” katanya.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 73 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing.

“Kesemua yang ditahan itu berusia antara 10 hingga 54 tahun termasuk seorang wanita membabitkan 44 warga Bangladesh, sembilan Indonesia, tiga Myanmar dan tiga Pakistan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Kanak-kanak lelaki itu ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anirwan, antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam operasi sama, KPDN Melaka turut mengeluarkan beberapa kompaun kepada pemilik kedai runcit berkenaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here