Percayalah..DAP tidak akan tinggalkan kedudukan dalam kerajaan

PENULIS agak pelik sebab begitu ramai sekali yang memberi ulasan dan berteka-teki serta memberi hujah masing-masing sama ada DAP akan terus kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.

DAP akan membuat pendirian itu esok, selepas ia dimaklumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung perkara itu sejak 3 Ogos lalu.

Riuh betul masing-masing berhujah memperkatakan mengenai perkara itu sedangkan bagi penulis, apa yang mahu dilakukan oleh DAP pada Ahad ini, tidak lebih daripada satu drama politik.

Penulis sentiasa percaya bahawa DAP tidak akan meninggalkan kedudukan dalam kerajaan bukan sahaja sebagai parti politik tetapi juga sebagai anggota Kabinet. DAP bukannya parti ‘menumpang kuasa’ dalam Kerajaan Perpaduan tetapi DAP adalah jantung Pakatan Harapan (PH).

DAP berjuang sejak 1969 melalui pilihan raya untuk menjadi kerajaan. Impian tercapai pada PRU 2018 apabila PH menang Pilihan Raya Umum (PRU), DAP sendiri menang 42 kerusi Parlimen. Ketika itu seramai 12 ahli Parlimen DAP dilantik ke dalam Kabinet iaitu 6 menteri dan 6 timbalan menteri.

Berikutan ‘Langkah Sheraton’ PH kembali menjadi pembangkang 18 bulan kemudian.

 Dalam PRU-15 (2022), kejayaan memenangi 40 kerusi meletakkan DAP adalah nyawa PH untuk kembali menjadi kerajaan selepas PKR menang 31 kerusi dan Amanah 8 kerusi.

 Oleh kerana tidak cukup majoriti 112 kerusi untuk menubuhkan kerajaan, DAP bersetuju bersama membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi.

Walaupun tindakan PH itu khususnya DAP tidak disenangi oleh penyokong tegarnya namun mereka hanya mendiamkan diri dan membiarkan DAP terus berada dalam kerajaan.

Keuntungan yang diperolehi oleh DAP ialah seramai 11 ahli Parlimennya dilantik ke dalam Kabinet iaitu 5 sebagai menteri penuh dan 6 timbalan menteri. Lima menteri itu memegang kementeri dianggap penting iaitu Anthony Loke (Menteri Pengangkutan), Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Nga Kor Ming  (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Steven Sim Chee Keong  (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Hannah Yeoh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Namun pada masa sama sokongan kaum Cina terhadap DAP semakin merosot, isyarat awal diperolehi di Sabah dan seterusnya di PRN Johor. Prestasi buruk di dua negeri itu menyebabkan DAP mula gelabah kerana ia dianggap penolakan ketara pengundi Cina terhadap parti. Ia berlanjutan pula di Negeri Sembilan yang turut menyaksikan Anthony ‘dibungkus’ Barisa Nasional (BN) d DUN Chennah.

Berikutan itu terpancul lah usul untuk mengkaji semula kedudukan dalam kerajaan apatah lagi mereka mengaitkan kekalahan itu disebabkan kerjasama dengan UMNO serta kegagalan menunaikan janji pilihan raya dan melakukan reformasi.

Bagaimanapun penulis melihat apa yang cuba dilakukan esok tidak lebih hanya ‘drama politik’. Ia kerana kalau berada dalam kerajaan pun, DAP dianggap gagal, adakah dengan meninggalkan segala jawatan kerajaan ia akan membolehkan DAP melakukan lebih baik?

Atau adakah dalam kalangan pemimpin DAP percaya dengan memiliki 40 kerusi serta menjadi parti yang menggenggam’nyawa’ PH, segala kehendak DAP akan dituruti.Belum tentu lagi?

Justeru penulis percaya DAP tidak akan meninggalkan kerajaan kerana ruginya lebih banyak daripada untung. Lagipun berada dalam kerajaan memiliki kuasa dan kedudukan dalam Kabinet  adalah satu nikmat serta kelebihan, penulis yakin ramai pemimpin DAP bersetuju dengan perkara itu.

Cuma apa yang diharapkan, kalau mahu kekal dalam kerajaan tidak perlulah beri apa-apa alasan   sebab semua orang tahu sejak awal lagi…semuanya hanya ‘drama politik’.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here