Anak Azeez Rahim nafi bapa ditahan SPRM

ANAK kepada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan dakwaan tular dalam media sosial bahawa bapanya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), malam tadi.

Khairul Azman Abdul Azeez memaklumkan bapanya sedang berehat di kediaman mereka, sekali gus menyangkal dakwaan penahanan bekas Pengerusi TH itu.

“Untuk mereka yang bertanyakan khabar, saya ucapkan terima kasih banyak dan untuk makluman, ayah saya masih di rumah sedang berehat. Semoga segalanya dipermudah dan apa jua bentuk siasatan dijalankan dengan penuh integriti, adil dan telus,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Khabar angin berhubung penahanan Abdul Azeez tersebar di beberapa platform media sosial sejak lewat malam tadi.

Abdul Azeez dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah TH pada 2011 dan Pengerusi TH pada 1 Julai 2013. Beliau melepaskan jawatan Pengerusi TH pada Mei 2018.

Pada 30 Julai lalu, Azeez dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat semula jika perlu susulan dakwaan salah laku dalam laporan RCI TH.

“Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat sakau demi kepentingan politik,” katanya, lapor Sinar Harian pada bulan lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here