POLIS menahan tiga lelaki susulan pergaduhan yang dikaitkan dengan kegiatan parkir tanpa kebenaran di tanah kosong bersebelahan Dewan Komuniti OUG, Jalan Awan Besar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang wanita membuat laporan semalam selepas mendakwa dimaki seorang suspek sebelum ditumbuk di kepala dan diugut akan dipukul lagi.
Suspek itu juga didakwa mengugut untuk menimbulkan masalah di tempat kerja wanita berkenaan.
“Polis kemudian menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun. Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, seorang suspek direman dua hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lagi direman sehari.
Kes ini disiasat atas kesalahan ugutan jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan, katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di 03-2297 9222, atau Polis Kontinjen Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, pengendali parkir tanpa kebenaran itu sebelum ini mengingkari arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 4 Ogos supaya menghentikan operasi.
DBKL bersama Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan kemudian menjalankan tindakan penguatkuasaan dan menutup operasi berkenaan.
Bagaimanapun menurut Teresa, pengendali itu kembali ke lokasi dan didakwa menyerang seorang anggota Majlis Perwakilan Penduduk Seputeh ketika berlaku pertelingkahan.





