POLIS merampas pelbagai jenama rokok tidak bercukai bernilai RM1.49 juta selepas menyerbu tiga lokasi sindiket pengedaran rokok seludup yang menggunakan pelbagai lokasi simpanan sementara sebelum mengedarkannya di pasaran di sekitar Lembah Klang semalam.
Kejayaan itu hasil serbuan Op Taring Alpha 1 dijalankan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman yang merampas pelbagai jenama rokok tidak bercukai selain menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun.
Komander WCB/PSK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi hasil risikan itu menyasarkan tiga lokasi serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor secara berperingkat.
“Serbuan bermula jam 12.05 tengah hari di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan suspek pertama bersama sejumlah rokok tidak bercukai dalam kenderaannya.
“Hasil soal siasat membawa pasukan operasi ke lokasi kedua di Semenyih, Selangor pada jam 3 petang yang dijadikan stor penyimpanan utama pelbagai jenama rokok. Serbuan ketiga pula dilakukan pada jam 3.30 petang di Damansara Damai, Petaling Jaya dan menahan suspek kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaki, antara barangan yang dirampas dan disita termasuk rokok tidak bercukai bernilai RM360,400 (serbuan pertama), RM911,680 (serbuan kedua), dan RM219,413 (serbuan ketiga) membabitkan pelbagai jenama rokok.
“Polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Alphard, tiga unit telefon bimbit dan wang tunai RM26,415. Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai bekerja sebagai penghantar rokok berbayar sejak empat hingga enam bulan.
“Premis yang diserbu digunakan sebagai tempat transit sebelum bekalan dihantar ke kedai-kedai sekitar Kuala Lumpur. Urusan pengambilan dan penghantaran diatur sepenuhnya melalui aplikasi mesej dalam talian,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.
“Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos 2026, WCB/PSK telah melancarkan 237 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan 411 individu serta rampasan pelbagai barangan seludup bernilai RM312.5 juta,” katanya.





