TINDAKAN pantas bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran belukar daripada merebak ke taman perumahan berhampiran di Jalan Kampung Batu Tujuh berhampiran Jalan Kebun di Shah Alam petang tadi.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Noor Azreal Abd Ghani berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kira-kira jam 7.15 malam sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik sampai di lokasi, kita dapati api sedang marak di beberapa kawasan dengan anggaran keluasan 100 x 150 kaki persegi (1,393 meter persegi).
“Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti sebab tiada kesan pembakaran sampah secara terbuka, tetapi kita dapat mengawal api daripada merebak,” katanya malam ini, lapor Buletin TV3.
Noor Azreal berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam menggunakan hos khas sepanjang 400 kaki (121.92 meter) dan dua nozel untuk mengawal sepenuhnya kebakaran di kawasan tanah wakaf berkenaan.
Menurutnya, kawasan Jalan Kebun dan sekitarnya sentiasa mudah terancam kebakaran ketika cuaca panas berikutan geografinya yang bertanah gambut.
Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku setakat ini dan pihaknya sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran di luar kawalan.





