Semua juruterbang Malaysia Airlines bebas pengaruh dadah – MAG

SEMUA juruterbang Malaysia Airlines yang menjalani ujian saringan dadah mandatori oleh Malaysia Aviation Group (MAG) baru-baru ini, bebas daripada pengaruh dadah.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, ujian saringan terhadap kesemua juruterbang itu selesai mengikut tempoh ditetapkan pada 15 Ogos lalu sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh keselamatan dan tahap kecergasan bertugas dalam operasinya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, penyelesaian fasa pertama itu adalah pencapaian penting dalam langkah keselamatan yang dilaksanakan kumpulan berkenaan.

“Penyelesaian fasa pertama ini adalah pencapaian penting dalam langkah yang kami komited untuk laksanakan, namun kerja tidak terhenti di sini.

“Kami meneruskan saringan terhadap kumpulan operasi lain bagi memastikan standard ketat sama dilaksanakan secara konsisten di seluruh syarikat penerbangan kami.

“Keselamatan kekal menjadi teras setiap keputusan yang kami buat dan kami akan terus mengambil langkah diperlukan bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan standard operasi serta keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Nasaruddin, 100 peratus juruterbang Malaysia Airlines yang aktif menjalankan tugas operasi sudah menjalani saringan berkenaan dan kesemua keputusan ujian adalah negatif.

Susulan itu, fasa program saringan seterusnya akan membabitkan kira-kira 2,840 kru kabin Malaysia Airlines, yang akan bermula esok dan dilaksanakan secara berperingkat sehingga disasarkan selesai pada 3 September depan.

“Saringan turut dijalankan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan saudara MAG, Firefly.

“Setakat 15 Ogos lalu, lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly sudah menjalani saringan, dengan kesemua keputusan ujian setakat ini didapati negatif,” kata MAG dalam kenyataan sama.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MAG mencegah dan menghapuskan penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi, kumpulan itu akan meneruskan program ujian rawak secara berterusan yang dikendalikan pasukan Keselamatan dan Kesihatan, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa.

Langkah diperkukuh itu melengkapi rangka kerja sedia ada MAG berkaitan kecergasan untuk bertugas, termasuk saringan sebelum pengambilan pekerja, pensijilan perubatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala, pemeriksaan pematuhan mandatori sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru.

Sebelum ini, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur disyaki menyeludup dadah.

Pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan berat kira-kira 26 kilogram serta satu bungkusan methamphetamine.

Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here