Bapa menangis dengar pertuduhan empat lelaki bunuh anaknya

BAPA kepada seorang ahli perniagaan yang dibunuh sebelum mayatnya dibalut dengan jaring dan dibuang ke dalam sungai menangis ketika mendengar pertuduhan terhadap empat lelaki di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu pada mulanya kelihatan sayu ketika berjalan sambil dipimpin ahli keluarganya menuju ke kamar mahkamah bagi mengikuti prosiding sebutan kes pembunuhan anaknya, Low Kai Xian, 39.

Bagaimanapun, sebaik pertuduhan dibacakan terhadap keempat-empat tertuduh, lelaki terbabit tiba-tiba menitiskan air mata.

Peguam pemerhati kepada keluarga mangsa, Chuah Shyue Chien berkata, bapa mangsa sedih mengenangkan tragedi yang menimpa anaknya.

“Dia sedih dan menangis. Kami diberitahu ahli keluarga, mereka menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada mahkamah terhadap pembunuh anaknya.

“Itulah yang mereka sampaikan kepada kami sebelum prosiding bermula,” katanya ketika ditemui, lapor Berita Harian.

Terdahulu, empat lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan pada awal bulan ini.

Mereka ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26; Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.

Yogesvaran yang juga pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan pula kelindan lori, manakala Han Wei seorang peniaga kenderaan terpakai.

Keempat-empat tertuduh hanya mengangguk selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Kes berkenaan membabitkan mangsa yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibalut dengan jaring dan dibuang ke dalam sungai.

Dalam pada itu, beberapa ahli keluarga mangsa dilihat menunggu seawal jam 7.45 pagi di luar perkarangan mahkamah bagi melihat lebih dekat keempat-empat tertuduh yang didakwa terlibat dalam pembunuhan ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, kesemua mereka enggan ditemui media sebelum beredar meninggalkan mahkamah selepas prosiding selesai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here