SEORANG wanita yang baru melangsungkan perkahwinan tiga hari lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat janin berusia lima bulan yang ditanam di tepi sebuah rumah di Kuala Krai.
Perintah reman terhadap wanita berusia 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Datuk Nik Azlan di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, hari ini.
Wanita terbabit tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira jam 8.50 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu serta tangan bergari sebelum dibawa masuk ke mahkamah dengan kawalan polis.
Difahamkan, wanita yang pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Turut ditahan ialah bekas suaminya, lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, polis menerima laporan mengenai penemuan janin berusia lima bulan yang ditanam di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang.
Siasatan awal mendapati janin berkenaan dipercayai ditanam dalam kejadian yang berlaku pada 2024.
Janin itu dipercayai hasil hubungan sulit wanita berkenaan dengan teman lelakinya selepas dia bercerai dengan suaminya.
Perkara itu terbongkar selepas berlaku perselisihan faham antara wanita berkenaan dengan bekas suaminya sebelum lelaki terbabit membuat laporan polis.
Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, lapor Harian Metro.





