TINDAKAN seorang lelaki memuat naik hantaran berbaur ugutan untuk mencederakan individu di media sosial membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, suspek berusia 46 tahun yang berasal dari Kedah itu ditahan susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya.
Katanya, laporan berkenaan dibuat berhubung penularan satu hantaran berunsur ancaman di laman kumpulan Facebook.
“Ketika tangkapan dibuat, pihak polis menemukan sebilah pedang yang ditularkan itu di dalam kenderaan yang dipandu oleh suspek.
“Berikutan penemuan senjata itu, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaihairul berkata, bagi perbuatan memuat naik hantaran berbaur ugutan, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, polis memandang serius perbuatan berkenaan kerana boleh menimbulkan salah faham dan mengganggu keharmonian masyarakat.





