Faktor cuaca diambil kira dalam perancangan HKHM 2026 – Fahmi

KEADAAN cuaca semasa akan diambil kira dalam keseluruhan perancangan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 sekiranya tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal tinggi susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diteliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung petang ini.

“Kita akan teliti, kali ini kami ada mesyuarat Jawatankuasa Induk pada petang ini, sudah pasti keadaan cuaca akan diambil kira dalam sepanjang perancangan untuk sambutan Hari Kebangsaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian bagi bulan Ogos 2026 di Putrajaya.

Tambah Fahmi, kerajaan akan bekerjasama dengan kementerian dan jabatan berkaitan bagi memastikan maklumat tepat mengenai keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini dapat disampaikan kepada rakyat.

Kerjasama itu membabitkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penyampaian maklumat bukan sahaja akan dibuat menerusi siaran berita, televisyen dan radio, malah turut menggunakan inisiatif Info On Wheels Jabatan Penerangan Malaysia untuk turun ke kawasan tertentu,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan rakyat mengetahui aktiviti yang perlu dikurangkan atau dielakkan, khususnya di kawasan yang mencatatkan tahap IPU tinggi.

“Ini bukan hanya pembakaran terbuka, tetapi mungkin aktiviti riadah dan aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan-kawasan yang mengalami tahap IPU yang tinggi,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here