KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) membetulkan tarikh pelaksanaan Ujian Mendengar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, susulan ralat dalam ringkasan jadual yang dikeluarkan sebelum ini.
KPM dalam kenyataan terkini memaklumkan, Ujian Mendengar Bahasa Melayu akan diadakan pada 23 November, tarikh yang sama dengan Peperiksaan Bertulis.
Menurut KPM, Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pula akan bermula pada 24 November iaitu pada hari kedua Peperiksaan Bertulis.
Katanya lagi, tiada perubahan pada tarikh Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang akan bermula pada 26 hingga 29 Oktober, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris mulai 2 hingga 5 November.
“Begitu juga Ujian Amali Sains pula seperti jadual asal iaitu pada 16 hingga 18 November, manakala Peperiksaan Bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember.
“KPM ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu hari ini.
KPM memaklumkan jadual penuh peperiksaan SPM 2026 telah dimuat naik ke portal Lembaga Peperiksaan untuk rujukan semua pihak.
Terdahulu, KPM memaklumkan seramai 420,879 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2026 yang akan dilaksanakan mulai 26 Oktober hingga 17 Disember depan.
Peperiksaan berkenaan membabitkan 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.






