POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan seludup dari China bernilai kira-kira RM12.8 juta selain menahan lima individu dalam dua operasi bersepadu membabitkan aktiviti penyeludupan serta pelanggaran peraturan import di Kuala Lumpur dan Klang, awal bulan ini.
Kejayaan itu hasil serbuan Op Taring Alpha yang diadakan 2 pada 5 Ogos lalu yang membawa kepada penahanan tiga individu terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan di dua lokasi di Kuala Lumpur, pihaknya merampas minuman keras pelbagai jenama serta produk makanan dan minuman dari China dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5.1 juta.
“Antara rampasan adalah 112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta, selain 4,092 botol minuman keras jenama Zongpi CR bernilai kira-kira RM2.7 juta.
“Turut dirampas pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai kira-kira RM56,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Menurut Muhammad, dalam Op Taring Alpha 5 di Klang pula membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan rampasan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM7.7 juta.
Katanya, rampasan itu termasuk minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 245 karton rokok putih bersamaan 49,000 batang bernilai hampir RM300,000 serta 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.
“Selain itu, kita merampas 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta serta 260 pokok bonsai berpasu pelbagai saiz dan jenis bernilai RM260,000,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua premis dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan sementara sebelum barangan diedarkan kepada pelanggan tempatan.
“Kebanyakan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan menggunakan dokumen yang mengisytiharkan kandungan berbeza daripada barangan sebenar, manakala kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan,” tambah beliau.
Muhammad berkata, kejayaan kedua-dua operasi itu hasil kerjasama PDRM dengan pelbagai agensi penguat kuasa menerusi perkongsian maklumat dan risikan.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga 21 Ogos tahun ini, Jabatan KDNKA Bukit Aman telah menjalankan 240 serbuan di seluruh negara, dengan 413 individu ditahan dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM314 juta.





