DUA lelaki dilaporkan cedera akibat diserang dan ditetak sekumpulan individu dalam kejadian di Seksyen 28, Shah Alam hari ini.
Kejadian itu turut tular menerusi rakaman dari kamera papan pemuka kenderaan yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit itu, sekumpulan individu dilihat meluru keluar dari beberapa kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.
Sebuah lagi kereta dilihat membuat pusingan dan melanggar seorang individu sebelum beberapa individu lain menyerangnya.
Bagaimanapun, keadaan kedua-dua mangsa serta motif kejadian masih belum diketahui.
Ketika ini, media masih menunggu pengesahan lanjut daripada polis berhubung kejadian itu.





