Kerajaan akan kawal selia platform e-dagang – Fahmi

KERAJAAN akan mengambil tindakan segera bagi memperkemas kawal selia platform e-dagang di negara ini susulan aduan berkaitan penjualan produk elektrik, elektronik serta status halal.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas menerima aduan daripada orang awam, pengusaha platform e-dagang dan peniaga premis fizikal.

Katanya, Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi meneliti tindakan segera termasuk proses pendaftaran bagi platform e-dagang.

“Antara tindakan tersebut termasuk pendaftaran bagi platform-platform e-dagang,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Fahmi berkata, terdapat platform yang sudah mempunyai syarikat berdaftar dan berpangkalan di Malaysia, namun ada juga yang tidak mempunyai syarikat berdaftar atau alamat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat menutup operasi platform terbabit, sebaliknya memastikan produk yang dijual mematuhi peraturan dan piawaian ditetapkan.

“Kita tidak berhasrat untuk menutup, tetapi kita mahu, contohnya bagi produk-produk elektrik dan elektronik, ia harus menepati piawaian SIRIM.

“Sekiranya ada status halal, maka ia mesti mematuhi piawaian halal yang kita guna pakai dalam negara,” katanya.

Menurut Fahmi, MCMC menerima 1,964 aduan berkaitan platform e-dagang sejak 1 Januari 2025 hingga 25 Ogos 2026, termasuk 161 aduan berkaitan produk elektrik atau elektronik dan empat mengenai kesahihan status halal.

Katanya, kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pengendali platform e-dagang, dengan pengalaman MCMC melaksanakan kerangka pelesenan terhadap platform media sosial sebelum ini boleh dijadikan asas perbincangan.

“Jadi mungkin perbincangan yang hampir serupa boleh diadakan dengan pihak platform-platform e-dagang,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here