Lelaki, wanita dipercayai kenalan ditemukan meninggal dunia dalam kereta

SEORANG lelaki dan wanita dipercayai kenalan ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan awam berhadapan Super Seven di Vista Valley, Semenyih, Kajang semalam.

Lelaki berusia 48 tahun dan wanita berusia 43 tahun, kedua-duanya rakyat tempatan itu ditemukan di tempat duduk hadapan kereta jenis Hyundai Atos berwarna hijau.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat kedua-dua mereka pada jam 3.54 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kesan umpilan pada kenderaan serta tiada kecederaan atau tanda-tanda unsur jenayah yang jelas pada kedua-dua mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa adalah kenalan dan dilaporkan tidak dapat dihubungi serta tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari sebelum kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Naazron berkata, proses bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Kajang hari ini namun punca kematian masih belum dapat ditentukan dan masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal (Pending Laboratory Investigation).

“Setakat ini, polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan sementara menunggu keputusan pemeriksaan makmal. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Naazron turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978 8804 bagi membantu siasatan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here