Love scam, hutang RM260,000 dipercayai motif bunuh keluarga

RASA malu dan tertekan akibat bebanan hutang mencecah RM260,000 selepas isterinya dipercayai terjerat perangkap love scam disyaki menjadi motif seorang lelaki membunuh tiga ahli keluarganya sebelum menamatkan nyawa sendiri dalam kejadian di Desa ParkCity, Petaling Jaya, semalam.

Ia susulan penemuan sekeping nota yang ditinggalkan lelaki terbabit, dipercayai bapa kepada keluarga berkenaan, di atas meja makan kediaman mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, nota berkenaan menyatakan rasa kesal suspek terhadap isterinya yang dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang scammer sehingga menyebabkan suspek menanggung kerugian dan hutang kira-kira RM260,000.

“Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau serta berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kematian empat beranak itu mengejutkan penduduk sekitar selepas mayat mereka ditemukan dalam kediaman berkenaan sebelum polis dipanggil ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Mengulas perkembangan proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil mengesahkan prosedur ke atas anak perempuan pasangan itu yang berusia sembilan tahun selesai dijalankan pagi tadi.

“Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari.

“Satu liang tikaman di leher berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati,” katanya.

Menurutnya, proses bedah siasat ke atas mayat isteri suspek turut dijadualkan dijalankan hari ini.

“Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok,” katanya.

Sementara itu, pasukan forensik turut menemui bukti penting yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.

“Sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan ditemui di dalam laci di bilik tidur utama,” katanya.

Polis masih meneruskan siasatan terperinci dari sudut forensik dan latar belakang keluarga terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium di Desa ParkCity, Persiaran Residen, di sini, manakala isteri dan dua anaknya ditemukan maut dalam unit kediaman berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di Unit Forensik HKL mendapati beberapa individu hadir kira-kira jam 1 tengah hari dipercayai ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, semua mereka enggan ditemu bual dan bergegas pulang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here