‘’Jangan paksa ideologi konservatif,radikal anda ke atas UMNO’’

TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO adalah golongan dan kelompok tengah serta akan selamanya menyusuri jalan pertengahan.

Sambil menegaskan, UMNO  akan selamanya ‘centrist’ dan ideologiny ‘sentrisme’, Mohamad berkata, parti tidak akan condong ke kiri atau ke kanan.

‘’ Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat. Spektrum pendirian UMNO sangat jelas. Kita telah di uji berpuluh-puluh tahun dengan mengurus serta mentadbir negara dengan sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana, walaupun sebagai parti kebangsaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita,Pemuda dan Puteri di Kuala Lumpur malam ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata,  sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan UMNO, mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah UMNO.

‘’Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO. Bangsa Melayu pula akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang untuk semua.

‘’Kami akan memastikan tanahair ini adalah tanahair untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan apa yang terpasak dalam Perlembagaan Persekutuan,’’ katanya.

Beliau mengingatkan terbukanya ruang kerjasama pelbagai parti Melayu dalam pilihanraya, haruslah jangan menyinggung rakan-rakan dari pelbagai bangsa lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

‘’Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu. Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan, di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.

‘’ Ingat, bila politik Malaysia ini ‘chaotic’ dan kacau bilau, kita memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan. Mereka sekarang telah menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap telah tinggal menjadi kenangan,’’ katanya.

Mohamad menegaskan, ramai dari kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak, yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah, apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat.

‘’Kepada rakan-rakan bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Ikrar UMNO ialah Malaysia yang adil dan bersatu-padu. Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahupun penafian hak dan kepentingan kalian.

‘’Insya’Allah, Malaysia yang kita cita-citakan, ialah Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum jua,’’ katanya.

Dalam ucapan itu juga Mohamad turut menegaskan, salah satu sebab kenapa generasi muda menghindari politik ialah kerana budaya politik di Malaysia ini telah menjadi sangat toksik.

‘’Sarat dengan maki hamun, cercaan dan penuturan kata nista. Ramai yang menggunakan sentimen Melayu dan Islam sewenangnya tanpa hikmah. Negara ini sangat merindukan ‘politik budiman’ generasi dahulu.

‘’Kritikan disuarakan dengan cermat. Teguran dibuat dengan seribu hikmah. Perbezaan diuruskan dengan sopan. Mari kita lihat dan ambil pengajaran dari budaya dan politik di Sarawak. Semuanya teratur, kemas dan matang. Perbezaan diuruskan dengan perbincangan dan sopan,’’ katanya.

Mohamad berkata, kadang-kadang kita lupa bahawa, Sarawak adalah model politik yang benar-benar menampilkan fabrik kepelbagaian Malaysia.

‘’ Banyak yang kita boleh pelajari dari cerita politik Sarawak dan bagaimana mereka menghindari politik toksik yang memualkan,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, nasionalis UMNO tidak boleh terjebak dalam krisis fitnah dan cercaan.

‘’Kita mesti menjadi parti yang bertanggungjawab. Kita mesti memerangi segala berita palsu dan fitnah terhadap UMNO, tetapi jangan sesekali terlibat dalam penyebaran fitnah dan berita tidak sahih tentang lawan kita.

‘’Cara politik kita mestilah beretika. Ramai sekali rakyat di luar sana yang menjadi mangsa maklumat yang tidak betul, dan mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal untuk memulihkan reputasi mereka,’’ katanya.

Tegas Mohamad, fitnah dan misinformasi adalah senjata yang sangat berbahaya.

‘’Jika kita bermain dengannya, ia akan kembali menghantui kita akhirnya,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here