KENAIKAN harga makanan, bahan api dan barangan keperluan dipengaruhi pelbagai faktor global yang berada di luar kawalan negara, namun langkah kerajaan membantu mengurangkan kesannya terhadap rakyat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan berdepan pelbagai faktor luaran termasuk situasi perang di Iran yang memberi kesan terhadap harga dan bekalan bahan api, selain dasar bersifat proteksionis Amerika Syarikat (AS).

“Sememangnya ada beberapa perkara yang di luar kawalan kerajaan seperti situasi perang di Iran serta kesannya kepada harga dan bekalan bahan api. Selain itu, dasar yang bersifat proteksionis oleh AS juga berlaku di luar kawalan kerajaan,” katanya kepada Utusan Melayu Plus baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam keadaan itu, ruang yang ada kepada kerajaan adalah meminimumkan kesan langsung kejutan luaran terhadap rakyat dan komuniti perniagaan melalui dasar serta bantuan yang bersesuaian.
Katanya, antara langkah yang dilaksanakan ialah subsidi bahan api bersasar seperti RON95 dan diesel menggunakan MyKad sebagai alat pengagihan subsidi, selain bayaran pindahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu meningkatkan kuasa beli rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.
Contohnya, melalui gabungan STR dan SARA Bulanan, penerima yang layak boleh menerima bantuan sehingga RM4,600 setahun untuk menampung sebahagian perbelanjaan keperluan asas.
“Dasar-dasar yang lain yang didukung oleh agensi-agensi kerajaan seperti KWSP dan Perkeso juga melengkapi ekosistem jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Afzanizam berkata, kerajaan turut menyediakan sokongan bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPIMB), SME Corp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SJPP.
Ini termasuk pakej intervensi bernilai RM15 bilion yang merangkumi jaminan pembiayaan, kemudahan bantuan BNM serta pembiayaan mikro melalui beberapa agensi.
“Oleh itu, usaha kerajaan tertumpu kepada mengurangkan dan meminimakan kesan luaran dan pada masa yang sama cuba membantu rakyat dan komuniti perniagaan dari segi pembinaan kapasiti supaya mereka akan menjadi lebih berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, persepsi bahawa kerajaan perlu menyelesaikan semua masalah, termasuk menganggap semua masalah berpunca daripada kerajaan, perlu diubah supaya usaha yang dilaksanakan dapat dinilai secara lebih objektif, adil dan saksama.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norsida Man berkata, kerajaan juga tidak dapat mengawal sepenuhnya harga pasaran makanan apabila kenaikan berpunca daripada faktor global.

Katanya, antara faktor berkenaan termasuk harga komoditi dunia, cuaca ekstrem, konflik geopolitik, sekatan eksport serta gangguan logistik, perkapalan dan rantaian bekalan yang boleh mengurangkan bekalan atau meningkatkan kos import.
“Kerajaan tidak dapat mengawal sepenuhnya harga pasaran, khususnya apabila kenaikan berpunca daripada faktor global seperti harga komoditi, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Bagaimanapun, Norsida berkata, kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengurangkan kesan kenaikan harga melalui subsidi bersasar, kawalan harga, dasar import, stok penimbal serta bantuan kepada golongan rentan.
Menurut beliau, fokus dasar juga perlu beralih daripada sekadar mengawal harga kepada usaha membina daya tahan sistem makanan, termasuk mempelbagaikan sumber import, meningkatkan produktiviti dan pengeluaran makanan tempatan serta memperkukuh infrastruktur penyimpanan, pengairan dan rantaian sejuk.
“Kejayaan kerajaan tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan harga yang tidak meningkat, tetapi berdasarkan tiga perkara iaitu mengurangkan tekanan harga, melindungi kumpulan rentan dan memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia,” katanya.
Norsida berkata, kenaikan harga makanan bukan semata-mata isu inflasi, sebaliknya turut berkait rapat dengan keterjaminan bekalan makanan, justeru strategi jangka panjang perlu memastikan makanan mencukupi, tersedia dan berterusan walaupun berlaku kejutan global.





